Pagi yang menyerabutkan
Memang biasa sangat anda serabut setiap pagi. Perlu menyediakan kelengkapan anak, diri sendiri dan pasangan, dan perlu sediakan sarapan lagi. Apa yang paling seram… waktu itu juga anak pun meragam!
Tak mahu makan itu, tak mahu pakai baju ini. Haish, Ya Allah! Sudahlah kita ini lambat nak ke tempat kerja. Banyak pula songeh mereka, ya!
Kalau semua kelengkapan telah disediakan dengan lebih awal, waktu pagi anda diuji dengan cara lain pula – anak menangis seperti didera.
Sedangkan anda hanya ingin menyikat rambutnya! Takpun, anda ingat mereka akan bersiap. Tapi alih-alih mereka sibuk bermain pula. Kelam kabutnya!
Kenapa susah sangat nak menjalani waktu pagi yang lancar? Apa salah kita?
Menurut Parent.co, kesalahan anda satu saja – anda selalu tak memulakan hari dengan “connection” atau berhubung bersama anak-anak.
Pakar mendedahkan ibu bapa sering memulakan pagi tanpa membina “satu hubungan yang baik dengan anak-anak terlebih dahulu“.
Apakah hubungan yang baik ini? Ia dalam bentuk pelukan, cuddle, membaca atau menyoal si manja tentang bagaimana tidurnya.
Ini tak. Apabila mereka bangun tidur, anda pantas menyuruh mereka buat itu ini, bersiap dengan cepat dan makan semua sarapan yang anda sediakan. Minda mereka tak bertindak sedemikian!
Pemprosesan minda kanak-kanak berbeza
Ingat bagaimana anda boleh menahan marah, walaupun anda mahu saja memaki-hamun bos anda? Tingkah laku ini didorong oleh minda yang matang.
Akan tetapi, pembentukan minda kanak-kanak masih dalam proses. Maka, kanak-kanak memerlukan lebih “connection” untuk membentuk minda yang matang.
Sebab itu mereka kerap kali mengamuk dan marah-marah pada waktu pagi! Tapi jangan risau ibu bapa semua! Pakar telah mendedahkan satu rahsia yang boleh membantu semua ibu bapa di luar sana.
Satu perkara yang wajib dilakukan oleh semua ibu bapa untuk melancarkan hari
Menurut Daniel Siegel dan Tina Bryson, ibu bapa perlu memberi fokus kepada “hubungan mereka dengan anak-anak” berbanding sibuk menentukan apa tugasan yang perlu disiapkan oleh anak-anak tersebut setiap pagi.
Bagaimana ingin membina hubungan yang baik dengan anak-anak untuk melancarkan pagi anda itu?
Dr Laura Markham, seorang pakar psikologi dan keibubapaan mencadangkan semua ibu bapa harus melakukan snuggling dan bermesra dengan anak-anak setiap pagi, sekurang-kurangnya selama 5 minit selepas mereka bangun tidur.
Ia untuk “merapatkan kembali” connection antara ibu bapa dan anak-anak yang terpisah ketika mereka tidur. Jika anda berbuat demikian, anak-anak akan ingin bekerjasama dengan anda, berbanding hanya ingin bergaduh.
Tak biasa snuggling atau bermesra manja dengan anak-anak yang bangun tidur? Cuba garu belakang badannya, atau pegang tangannya, sambil ucap selamat pagi.
Atau anda juga boleh cuba menyanyi lagu kegemaran mereka bersama-sama, memberi high-fives atau bergurau. Tak kisahlah jika anda sudah siap berpakaian atau belum. Luangkan masa dengan anak-anak sekejap!
Hubungan baik yang dibina dengan anak-anak
Adalah penting untuk mempunyai hubungan yang baik dengan anak-anak. Untuk menghasilkan hubungan yang baik ini, anda perlu menyentuh “emosi” mereka. Contohnya jika mereka mengamuk dan menangis tanpa sebab, cuba peluk mereka.
Selepas anak-anak bertenang, baru anda boleh menyampaikan sesuatu dengan bijak. Menurut Siegel lagi, menyentuh emosi anak-anak untuk menenangkan mereka mendatangkan dua faedah, iaitu:
- membina ikatan yang kuat antara anda dan anak-anak, dan
- membina sambungan dalam minda kanak-kanak
Nampaknya, ada penyelesaian mudah untuk mengatasi masalah serabut setiap pagi kerana kerenah anak-anak ini. Jom cuba! Luangkan sedikit masa setiap pagi untuk membina hubungan dari segi emosi dengan anak-anak.
Nescaya mereka akan melancarkan pagi anda!
Sumber rujukan: Parent.co, Semantics Scholar dan Aha! Parenting.
The post Serabut Dengan Ragam Anak Setiap Pagi? Anda Wajib Buat Perkara Ini Dulu! appeared first on Malaysian Parenting and Motherhood advice.