Doktor pakar yang sungguh hebat!
Seorang doktor pakar yang menjaga kes-kes kehamilan di Luxor General Hospital, Luxor, Mesir baru-baru ini telah menunjukkan betapa dirinya seorang doktor yang hebat!
Apa tidaknya, Dr Mervat Mohamed Talaat yang hamil itu masih meneruskan pembedahan pada pesakitnya walaupun beliau keguguran!
Semuanya bermula begini – beliau sedang menjalankan pembedahan c-seksyen untuk menyambut bayi salah seorang ibu bersalin.
Tiba-tiba, beliau diserang kesakitan dan darah banyak mengalir daripada farajnya!
Tapi, doktor itu tidak mahu berganjak dan masih meneruskan pembedahan tersebut hingga beliau selesai menyambut bayi yang dilahirkan pesakitnya itu!
Selepas semuanya selesai, beliau menyerahkan tanggungjawab menjaga pesakit itu pada doktor lain. Beliau kemudiannya dibawa ke dewan bedah.
Kehamilan luar rahim
Menurut laporan Al Arabiya, doktor hebat terbabit telah mengalami kehamilan ektopik, atau kehamilan luar rahim. Perkataan ektopik bermaksud “di tempat yang salah“.
95% daripada kehamilan luar rahim terjadi dalam tiub falopio atau dalam abdomen seseorang ibu.
Jika ia dibiarkan, pendarahan dalaman boleh berlaku. Kebanyakan kehamilan ektopik akan menyebabkan keguguran.

Kredit gambar: PregMed
Jika anda disahkan mengalami kehamilan ektopik, doktor akan melakukan pembedahan laparoskopi (pembedahan lubang kunci) untuk memotong tiub falopio dan mengeluarkan bayi.
Pakar daripada hospital berkenaan mengesyaki tekanan di tempat kerja punca Dr Mervat terlalu penat maka beliau tidak sempat menjaga kesihatannya.
Pada hari kejadian, beliau mempunyai 3 pembedahan yang telah dijadualkan. Ibu hamil semua, jaga kesihatan anda, ya! Jangan terlalu sibuk dengan kerja.
Pengerusi Luxor Doctors Syndicate, Ahmed Hamza berkata – mereka akan memberikan perhormatan kepada Dr Mervat kerana usahanya yang bernilai itu.
Salute, doctor!
Siapa yang berisiko dengan kehamilan luar rahim?
Menurut Baby Center, kehamilan ini boleh berlaku pada mana-mana wanita. Namun, risiko lebih meningkat jika wanita tersebut:
- Menghidap penyakit radang pelvik
- Mengalami luka pada tiub falopio, atau endometriosis
- Pernah membuat pembedahan di bahagian perut
- Hamil dengan kaedah IVF.
- Merokok
Simptom-simptom yang harus diperhati
Bagaimana ingin tahu jika anda mungkin mengalami kehamilan luar rahim? Lihat tanda-tanda penting ini.
Biasanya, kehamilan luar rahim rasa sama seperti kehamilan biasa.
Anda akan lambat datang haid atau tidak datang haid langsung, sakit payudara, sering keletihan, muntah dan kerap kencing.
Tapi, anda mungkin cenderung untuk mengalami kehamilan luar rahim jika:
- Anda mengalami pendarahan yang banyak keluar dari faraj
- Sakit di bahagian perut atau pelvik, biasanya selepas 6 atau 8 minggu lambat datang haid
- Sakit ketika melakukan seks
- Sakit ketika menjalani pemeriksaan pelvik
- Pening
- Sering pengsan
- Mengalami pendarahan dalaman
- Sering terkejut/mengalami kejutan
- Sakit bahu
Segera dapatkan rawatan di hospital jika anda mengalami simptom-simptom ini, ya! Jangan ambil mudah tentang kesakitan yang anda alami ketika hamil.
Semoga semuanya selamat untuk anda! Jaga kesihatan dan jangan lupa untuk dapatkan rehat yang mencukupi.
Sumber rujukan: Baby Center, Metro dan WebMD
Baca juga:
Kes 1-Dalam-625-Juta: Ibu Kehamilan Ektopik Berjaya Melahirkan Anak Cukup Umur
The post Hamil Luar Rahim: Seorang Doktor Keguguran Ketika Sambut Bayi Pesakit! appeared first on Malaysian Parenting and Motherhood advice.