Tahukah anda apabila ibu mengalami kesakitan menyusu yang tak dapat dijelaskan mengapa, ia merupakan petunjuk kepada masalah lip tie dan tongue tie?
Kira-kira 5-10% bayi akan mempunyai masalah ini selepas mereka dilahirkan.
Apakah itu masalah tongue tie dan lip tie?
Biasanya seorang bayi hanya akan mengalami salah satu dari masalah ini. Tetapi, pernah juga berlaku di mana ada bayi yang mengalami kedua-dua masalah ini sekali.
Gambar tongue tie atau lidah pendek. Sumber gambar: Breastfeeding Basics
Masalah tongue tie:
- Masalah membran di bahagian bawah lidah melekat pada lantai mulut dan menyebabkan pergerakkan lidah terhad atau terikat.
- Hujung lidah bayi tidak dapat diangkat sehingga menyentuh lelangit, dan tidak dapat digerakkan ke kanan atau ke kiri.

Gambar lip tie. Sumber gambar: Toilets Aren’t For Turtles
Masalah lip tie:
- Apabila membran di bawah bibir dan gusi (berhampiran dengan gigi depan) menyekat pergerakan bibir. Ini biasa berlaku pada bahagian atas bibir.
Apakah yang menyebabkan kedua-dua keadaan ini?
Ini adalah keadaan kongenital, iaitu keadaan yang wujud sejak bayi lahir.
Terdapat beberapa aspek genetik yang menyebabkan kedua-dua keadaan ini.
Bagaimanakah ia boleh memberi kesan pada anak saya?
Keadaan ini boleh menyebabkan masalah pada permulaan penyusuan.
Sesetengah bayi akan menghadapi cabaran untuk melekap dengan baik pada payudara ibu. Ini menyebabkan ibu rasa sakit semasa menyusu dan mengakibatkan luka pada puting sehingga berdarah atau keluar lepuh.
Bayi-bayi lain pula mungkin akan melekap dalam masa yang lama pada payudara walaupun sudah kerap kali menyusu.
Ini satu-satunya tanda penyusuan tidak efektif yang disebabkan oleh masalah tongue tie dan lip tie.
Bayi itu bukan sahaja tidak akan dapat susu yang secukupnya, malah dia akan cepat letih dan tertidur sebelum kenyang sepenuhnya.
Tanda-tanda lain termasuk purata kenaikan berat badan yang rendah serta refluks yang disebabkan jumlah udara yang ditelan bayi akibat pelekapan yang cetek.
Jika kes bayi itu sangat teruk dan tidak dirawat dengan cepat, masalah tongue tie dan lip tie boleh menjejaskan pertuturan, serta cara bayi itu makan dan menelan.
Ia juga akan memberi kesan kepada pertumbuhan gigi serta pertumbuhan dan perkembangan bahagian wajah dan rahang bayi tersebut.
Apakah kesannya kepada ibu?
Gejala-gejala yang dialami oleh ibu apabila anak mempunyai tongue tie dan lip tie, semuanya berkaitan dengan penyusuan:
- luka pada puting ibu
- mastitis
- salur susu yang tersekat
- bekalan susu rendah
Semua ini boleh menyebabkan ibu berasa kecewa dan berhenti menyusu dengan lebih awal.
Bagaimana untuk mengetahui anak mempunyai tongue tie atau lip tie?
Yang mengelirukan, seorang bayi yang mempunyai tongue tie atau lip tie mungkin masih boleh menjulurkan lidahnya.
Seperti kebanyakan masalah-masalah perubatan lain, gejalanya selalu berbeza-beza.
Pemeriksaan mulut yang terperinci oleh pakar terlatih adalah cara terbaik untuk mengesan kedua-dua keadaan ini.
Sumber: Milk Meg dan Dr. Zubaidi
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
5 Kesalahan Yang Dibuat Ibu Menyusu Hingga Boleh Bawa Bahaya
The post Masalah Tongue Tie Dan Lip Tie Pada Bayi – Apa Yang Ibu Bapa Perlu Tahu appeared first on Malaysian Parenting and Motherhood advice.