Quantcast
Channel: Kehamilan - Tips Untuk Hamil Dan Bersalin
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4977

Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 2 Bulan

$
0
0

Tahun pertama dalam hidup bayi yang baru lahir adalah antara perkembangan paling pantas dalam fasa hidup manusia.

Sebagai ibu ayah, kita akan sentiasa teruja melihat si kecil kita membesar, dan kini dia sudah pun berusia 2 bulan!

Sekarang, anda mungkin sudah mengenali bayi anda serba sedikit dan sudah sedikit mahir tentang hal-hal keibubapaan.

Pada usia 2 bulan, anda akan perasan yang si kecil anda mula mempunyai personaliti dan sudah tahu apa yang disukai dan tidak disukainya.

Jadi, apakah perubahan yang telah dialami oleh bayi anda dan apakah milestone yang patut dicapai olehnya pada usia ini?

Perkembangan Fizikal

perkembangan milestone 2 bulan - meniarap

Kredit: Babycenter.com

1. Otot tengkuk dan kawalan kepala

Bayi yang berusia 2 bulan mula dapat mengawal badannya dan mengangkat kepala dengan stabil apabila anda meletakkannya dalam posisi meniarap atau semasa anda mendukungnya.

2. Koordinasi yang lebih baik

Anak anda juga akan mula buat aksi “push-up” yang comel semasa dia sedang meniarap. Pergerakan kaki dan tangannya akan menjadi lebih lancar dan kurang tersentak-sentak.

Pada waktu ini, koordinasi pergerakannya adalah lebih baik berbanding sebulan yang pertama.

3. Memusingkan badan

Berhati-hatilah semasa menukar lampin bayi anda yang kini berusia 2 bulan. Ini kerana, dia sudah pandai memusingkan badan, walaupun dia belum mampu meniarap sendiri dengan sepenuhnya lagi.

4. Menenangkan diri

Pada ketika ini, dia mula mempunyai refleks menghisap yang lebih kuat, pada fasa inilah bayi anda akan mula menghisap jarinya sebagai satu cara untuk menenangkan dirinya sendiri.

5. Mengenggam

Anda juga akan mula perasan yang bayi anda secara semulajadinya akan mempunyai refleks untuk mengenggam.

Pada usia 2 bulan, si kecil anda anda mula mengetahui bagaimana untuk melepaskan genggamannya dan mungkin juga belajar untuk melambai.

6. Mengeluarkan air liur

Anak anda juga akan mula mengeluarkan air liur dan sering menyebabkan baju anda basah.

Tetapi ini bukan bermaksud yang dia akan mula tumbuh gigi, kerana ia biasanya hanya terjadi pada usia 4 bulan.

Perkembangan Sensori

1. Penglihatan

Oleh kerana bayi anda sudah boleh melihat dari jarak 60cm dari mukanya, dia juga boleh membezakan antara warna dan mudah tertarik pada warna yang terang atau pada objek yang berbeza bentuk.

Walaupun dia mungkin mengalami sedikit kesukaran untuk membezakan tona warna yang hampir sama, seperti merah dan oren, tapi anda sudah boleh menunjukkan mainan, buku, atau gambar objek berwarna hitam putih atau kontra warna yang berbeza.

bayi dua bulan - mendengar

Kredit: Whattheflicka.com

2. Pendengaran

Pada usia 2 bulan, si kecil sudah boleh membezakan antara suara yang sering didengarinya. Seperti suara ibu dan ayah.

Dia kini sudah menjadi pendengar yang baik. Apabila mendengar sesuatu, terutamanya suara anda, dia akan memberikan respon dengan memalingkan wajahnya ke arah sumber bunyi.

Dia juga akan berasa tenang mendengar suara anda, di mana ia membantu menenangkan ragam si kecil.

Jadi, lagi banyak anda bercakap atau menyanyi pada si kecil, lagi cepat dia belajar untuk mengenal suara anda.

Perkembangan Kognitif

perkembangan milestone 2 bulan - melihat

Kredit: Easybabylife.com

1. Mengenal wajah

Anda akan perasan yang bayi anda berusia 2 bulan kini sudah mula mengenal wajah orang yang berada di sekelilingnya.

Anda juga sudah boleh bermain “peek-a-boo” atau “baa-cak” dengan bayi anda.

2. Senyum

Bersedia juga untuk berasa teruja atau berkata “awww” apabila bayi anda mula memberikan senyumannya yang pertama.

Anda juga boleh mengalakkannya supaya menunjukkan rupa tersengihnya itu dengan membuat wajah lucu atau senyum padanya.

3. Berasa bosan

Percaya atau tidak, bayi anda juga akan mula menangis atau meragam apabila dia berasa bosan atau tidak mendapat stimulasi yang cukup.

Jadi, jika anda perasan tentang hal ini, anda bolehlah penuhi keinginannya dengan bermain bersama bayi anda.

Perkembangan Pertuturan dan Bahasa

perkembangan milestone 2 bulan - menangis

Kredit: Wanderluststorytellers.com

1. Bahasa bayi

Walaupun cara komunikasi utama bayi anda pada umur ini adalah menangis, anda juga akan mula mendengar beberapa bunyi lain pada fasa ini. 

Penting untuk anda selalu bercakap dengannya, walaupun dia belum mampu untuk membalasnya.

Ini menggalakkan bayi bercakap perkataan pertamanya dan tidak lama lagi, mula berceloteh bak burung murai!

Jika anda kurang pasti apa yang mahu diperkatakan kepada bayi berusia 2 bulan, ikuti tip ini:

  • Bercakap dengan lama kepada bayi supaya anda dapat mengajarnya bagaimana untuk mendengar dan membalas – walaupun dia hanya mengangguk, tersenyum, dan mengeluarkan bunyi bayi
  • Bercakap dengan perlahan dan jelas dan biar si kecil anda melihat pergerakan mulut dan lidah anda
  • Tiru perkataan yang bayi anda katakan, walaupun ia hanyalah bunyi seperti “ba ba” atau “na na”
  • Walaupun anda tidak faham bahasa bayi, buat-buat faham dan berikan respon kepadanya
  • Bayi juga berkomunikasi menggunakan pergerakan tubuh, jadi tiru aksinya seperti menepuk tangan dan melambai
  • Tiru ekspresi muka dan senyum apabila dia senyum sebagai galakan komunikasi

2. Isyarat bayi

Walaupun bayi anda belum boleh bercakap atau memberitahu anda dengan jelas apa yang dia suka dan tidak suka, sebagai ibu ayah anda boleh belajar tentangnya dengan memahami isyarat yang diberikan oleh si kecil.

Isyarat positif:

  • Melihat wajah anda
  • Pergerakan lancar tangan dan kaki
  • Mengangkat tangan ke arah anda
  • Memandang atau memalingkan muka ke arah anda
  • Tersenyum
  • Mengeluarkan bunyi
  • Ekspresi muka yang gembira

Isyarat negatif:

  • Memalingkan muka dan mata ke arah lain
  • Menangis
  • Meragam
  • Batuk
  • Mengangkat belakang badan
  • Menggeliat
  • Berkerut
  • Menguap

Corak tidur

perkembangan milestone 2 bulan - tidur

Kredit: Peanutbutterandjellytv.com

Bayi berusia 2 bulan memerlukan tidur selama 15 ke 16 jam sehari dan selalunya bangun untuk makan setiap tiga jam.

Pada usia ini, bayi anda mungkin tidak akan tidur semalaman, walaupun sesetengah bayi mampu untuk berbuat demikian (bertuah sunggu ibu bapa ini!).

Bersabarlah dan cuba bantu bayi anda untuk tidur dengan sendiri dengan meletakkannya ke katil apabila anda rasa dia mula mengantuk berbanding setelah dia tidur nyenyak.

Isyarat tidur:

  • Berkerut
  • Membuat bunyi mengeluh
  • Merengek
  • Menguap
  • Menggosok mata
  • Pergerakan anggota badan yang tersentak-sentak, diikuti dengan pergerakan yang perlahan
  • Menggosok telinga
  • Menggaru kepala
  • Mahu didukung
  • Mahu diberi susu

Jika anda perasan beberapa tanda keletihan atau isyarat tidur seperti di atas, maka anda perlu memenuhi keperluannya dan membantunya untuk tenang sebelum dia penat, meragam dan mula menangis.

Penting untuk meletakkan bayi anda tidur dalam keadaan menelentang untuk mengurangkan risiko sindrom kematian bayi secara tiba-tiba (SIDS).

Anda juga perlu mengalihkan semua objek lembut dari katil bayi anda, seperti bantal, selimut dan anak patung.

Ini adalah kerana semua objek ini mungkin akan menelangkup muka bayi anda dan menyebabkannya lemas ketika tidur.

Permainan bayi

Amat penting untuk anda berinteraksi dengan si kecil anda untuk membentuk hubungan bonding dan menggalakkan perkembangan kemahirannya.

Cuba beberapa aktiviti atau permainan berikut bersama bayi anda yang berusia 2 bulan:

1. Mendengar muzik

Apabila kemahiran mendengar bayi anda menjadi semakin baik, dia akan menikmati mendengar pelbagai jenis bunyi dan muzik.

Jadi, mainkan beberapa muzik dan anda akan perasan yang bayi anda akan menggerakkan kakinya sambil mendengar dengan penuh perhatian – seolah-olah dia sedang membuat tarian bayi!

  • Apa yang anda perlukan: muzik
  • Perkembangan kemahiran: mendengar, menendang

2. Memberinya melihat ikan dalam akuarium

Semasa kemahiran melihat anak anda semakin berkembang, permainan mudah seperti melihat ikan yang pelbagai warna dalam akuarium adalah antara cara terbaik untuk si kecil anda menggunakan matanya.

Saiz dan warna ikan yang pelbagai akan menarik perhatian si kecil anda.

  • Apa yang anda perlukan: pelbagai ikan di dalam akuarium
  • Perkembangan kemahiran: penglihatan

Senaman bayi yang menyeronokkan

perkembangan milestone 2 bulan - mainanz

Kredit: Babycenter.com

Laburlah sedikit dan belikan tikar gim bayi untuk si kecil anda supaya dia dapat meniarap. Selalunya tikar gim bayi ini mempunyai pelbagai peralatan seperti:

  • Design yang terang dan berwarna-warni
  • Mainan bayi yang bergantungan
  • Mainan yang mengeluarkan bunyi
  • Cermin yang mesra bayi
  • Tilam yang lembut dan mempunyai pad
  • Lampu
  • Muzik

Bantu bayi anda meneroka pelbagai peralatan ini dan berinteraksi dengannya untuk menunjukkan cara bermain (memukul mainan yang digantung, menggoyangkan mainan yang berbunyi, menyentuh tekstur permukaan, dan sebagainya).

  • Apa yang anda perlukan: tikar gim bayi
  • Perkembangan kemahiran: sensori, kemahiran pergerakan

Bila kita patut risau?

Semua bayi membesar dan berkembang pada kadar yang berbeza dan tiada dua bayi yang serupa.

Tetapi, ada beberapa tanda amaran penting yang perlu anda perhatikan:

  • Tidak memberi respon kepada bunyi yang kuat atau bunyi bising yang tiba-tiba (bunyi pintu yang ditutup, alarm kereta, anjing menyalak, dan sebagainya)
  • Tidak memerhatikan objek yang bergerak atau mengikuti pergerakan dengan matanya
  • Tidak senyum pada orang lain, walaupun pada orang yang dikenalinya
  • Tidak memasukkan tangan ke dalam mulutnya
  • Tidak mampu mengangkat kepalanya apabila diletakkan dalam keadaan meniarap

Ibu ayah, pergilah berjumpa pakar pediatrik dengan segera jika anda berasa risau tentang perkembangan si kecil anda ya!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Panduan Lengkap: Tumbesaran Dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 1 Bulan

The post Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 2 Bulan appeared first on Malaysian Parenting and Motherhood advice.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4977