Pejam celik pejam celik, anak sudah berusia 5 bulan. Cepat sangat masa berlalu, kan? Apa agaknya milestone kanak-kanak 5 bulan yang perlu dicapai?
Bayi anda telah melepasi 4 bulan pertama yang memerlukan anda sangat berhati-hati.
Dan bagi meraikan bayi anda yang semakin mendekati usia 6 bulan ini, bersedialah untuk cabaran sebenar kerana bulan inilah bayi anda akan mula bersembang, bergolek dan mungkin juga merangkak!
Bayi anda juga akan mula pandai berguling, merangkak dan duduk tegak. Berikut antara apa yang anda patut jangkakan dari bayi anda pada usia 5 bulan.
Perkembangan Fizikal
1. Duduk tegak

Kredit: Styles At Life
Kebanyakkan bayi akan belajar duduk tegak dengan lebih lama, tapi dengan sedikit bantuan.
Jadi, letakkan kusyen untuk menyokong belakangnya sambil menggalakkannya duduk.
Lama-kelamaan anda akan lihat dia selesa berada di dalam posisi duduk dan anda boleh memperkenalkan kerusi bayi kepadanya semasa waktu makan.
2. Berguling
Jika bayi anda belum berguling, besar kemungkinan dia akan membuat percubaan pertamanya pada usia ini dan dapat berguling ke posisi meniarap semula dengan mudah.
Ini bermakna anda harus lebih berhati-hati semasa membiarkannya sendirian.
Pastikan bayi anda berada di atas tikar atau pada kedudukan rendah jika anda sedang sibuk membuat kerja bagi mengelakkan risiko terjatuh.
3. Merangkak atau mengesot
Kebanyakkan bayi berusia 5 bulan sudah mula merangkak atau bijak mengesot jika belum merangkak.
Mereka juga mula mengangkat kaki, bergoyang dan memegang kaki, secara amnya, berusaha untuk bergerak.
Perkembangan Kognitif

Kredit: BabyBin Blog
5 bulan ialah masa di mana bayi anda mula mempunyai identitinya tersendiri.
Di dalam erti kata lain, anda dapat melihat dia seorang bayi yang bagaimana nanti – ceria, ekspresif, perengus atau emosional.
Berikut adalah apa yang anda boleh perhatikan:
1. Lebih responsif dan ekspresif
Di usia 5 bulan, bayi anda lebih ekspresif dan responsif.
Dia akan cuba merenung anda lebih lama, mungkin cuba membaca bibir anda dan memahami apa yang anda cuba katakan.
Tiba-tiba anda akan perasan yang bayi anda cuba respon dengan setiap bunyi yang dia dengar seperti kicauan burung, petikan jari dan salakan anjing.
2. Memegang lebih baik

Kredit: MomJunction
Satu lagi skil yang bayi anda tunjukkan ialah memegang.
Anda akan perasan yang bayi anda akan berupaya memegang mainannya atau cawannya serta memindahkan barang dari satu tangan ke tangan lain. Ini adalah pencapaian yang besar!
3. Kitaran tidur
Di usia 5 bulan, bayi anda seharusnya mempunyai kitaran tidur yang seragam dan mungkin dapat tidur sepanjang malam jika cukup kenyang dan tiada yang mengganggu.
Ini bermakna anda akan mempunyai lebih masa sebagai seorang ibu, lebih cukup tidur dan lebih rehat, jadi, nikmati fasa ini.
Namun, ini juga bermakna bayi anda akan kurang tidur di waktu siang dan anda perlu lebih berhati-hati.
Perkembangan Sosial Dan Emosi
Walaupun bayi anda belum tahu mengekspresikan rasa marah, kecewa dan gembira, di usia 5 bulan dia akan lebih menunjukkan sayang, kasih dan tertawa.
Dia akan ketawa terhadap perkara kecil seperti hanya bermain ba-cak dengannya.
Ibu-ibu, di usia inilah anda akan mendengar gelak tawa yang selalu anda lihat di dalam video-video di internet. Jadi, apa kata rakam sendiri video bayi anda dan kongsikan jika anda mahu.
Perkembangan Pertuturan dan Bahasa
Kebolehan komunikasi bayi anda ketika ini adalah tinggi dan dia mungkin akan kelihatan seperti sudah pandai berjenaka.
Anda juga akan perasan yang bayi anda akan lebih banyak berbunyi dan mula menyebut “da-da, “ba-ba” dan “ma-ma”.
Dia juga akan cuba memberi respon ketika namanya dipanggil atau menyebut sesuatu.
Jika belum, anda bolehlah mula membaca buku cerita terhadap bayi anda dan tingkatkan bahasanya.
Anda juga boleh mencuba untuk mengulang beberapa perkataan biasa seperti “susu” dan “tidur” kepada bayi anda.
Ketahuilah yang adalah baik untuk anda menggunakan perkataan sebenar dan bukan perkataan pelat seperti “cucu” untuk “susu” kepada mereka.
Kesihatan dan Nutrisi

Kredit: BabyCenter
Bayi anda membesar dengan pesat dan seleranya semakin bertambah kerana dia sedang bersedia untuk makanan pejal. Hati-hati dan pastikan anda teruskan menyusukan susu badan kepadanya.
Walaubagaimanapun, apabila bayi anda mencapai usia 5 bulan setengah, anda boleh mula memberinya buah seperti pisang lenyek atau kuah sup sayuran kosong.
Pastikan ianya hanya untuk dirasa dan jangan beri lebih dari satu sudu kecil dan lebih dari satu jenis makanan.
Anda juga dicadangkan untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum memperkenalkan sebarang makanan baru selain susu ibu kepada mereka.
Kebanyakkan doktor juga menasihatkan ibu bapa untuk memberi sedikit air kepada bayi mereka semasa usia mendekati 6 bulan.
Tapi, sekali lagi, dapatkan nasihat doktor bayi anda terlebih dahulu.
Tip Berguna Untuk Ibu Bapa

Kredit: Baby Care
- Banyakkan berkomunikasi dengan bayi anda. Cuba kenalkannya dengan perkataan baru seperti lembu berbunyi moo, kucing berbunyi meow dan burung berbunyi cip cip. Juga, cuba panggil namanya lebih kerap kerana dia akan mula memberi respon.
- Pastikan anda sentiasa memerhatikan mereka kerana mereka sudah jadi semakin aktif. Pastikan rumah anda selamat untuk bayi untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
- Kenalkan bayi anda kepada orang sekeliling seperti membawanya berjalan.
- Pastikan senarai semak vaksin anda diikuti mengikut umurnya.
Usia lima bulan, tidak lain tidak bukan ialah masa anda akan menikmati detik bersama bayi anda kerana respon dan ekspesinya pertama kali. Jadi, nikmati fasa ini sepenuhnya!
Baca juga:
Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 4 Bulan
The post Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 5 Bulan appeared first on Malaysian Parenting and Motherhood advice.