Pada akhir tahun ini, semakin banyak pula kanak-kanak yang sakit dengan virus flu, sakit tekak dan sebagainya. Tapi, tahukah anda jangkitan telinga kanak-kanak juga boleh menyebabkan demam teruk?
Demam panas yang melebihi 5 hari, mesti ada sebabnya kerana demam panas selalu tanda badan anda sedang melawan jangkitan. Mari kita lihat penjelasan lanjut tentang jangkitan telinga kanak-kanak ini.
Apakah jangkitan telinga kanak-kanak?
Jangkitan telinga kanak-kanak atau Otitis Media (OM) biasa berlaku di tengah-tengah telinga. Ia disebabkan oleh bakteria dari cecair yang berkumpul di belakang gegendang telinga dan boleh diklasifikasikan kepada 3 jenis, iaitu:
1. Otitis media akut
Ini adalah jangkitan telinga kanak-kanak yang paling biasa. Apabila bahagian tengah telinga dijangkiti, ia akan jadi bengkak akibat cecair yang terperangkap di belakang gegendang telinga.
Kanak-kanak akan rasa sakit telinga lalu demam.

Jangkitan telinga kanak-kanak boleh menyebabkan demam panas yang lebih dari 5 hari. Sumber gambar: Parents
2. Otitis media berefusi
Keadaan ini boleh berlaku apabila masih ada cecair yang terperangkap di belakang gegendang telinga selepas jangkitan telinga biasa.
Keadaan ini hanya boleh didiagnosis oleh doktor selepas pemeriksaan telinga kerana ia jarang menimbulkan gejala yang boleh dikenalpasti oleh ibu bapa.
3. Otitis media berefusi yang kronik
Keadaan ini hanya akan berlaku jika cecair itu masih terperangkap untuk masa yang lama, atau asyik terperangkap biarpun tidak menyebabkan keradangan. Kanak-kanak akan menghadapi cabaran untuk melawan jangkitan dan ini boleh meninggalkan kesan sampingan atau merosakkan pendengaran mereka.
Apakah yang menyebabkan jangkitan telinga kanak-kanak?

Kanak-kanak lebih cenderung untuk mendapatkan jangkitan telinga berbanding orang dewasa kerana tiub Eustachian mereka lebih kecil. Sumber gambar: kids-ent.com
Selalunya, bakteria dan virus adalah punca. Selepas anak mengalami sakit tekak, selesema, atau mana-mana jangkitan yang berkaitan dengan salur pernafasan, bakteria boleh merebak ke saluran telinga.
Sebarang cecair yang masuk ke saluran itu biasanya akan mengalir dengan cepat melalui tiub eustachian yang menghubungkan telinga ke bahagian belakang hidung dan tekak. Tapi apabila kanak-kanak selesema, ada jangkitan sinus atau alahan, tiub ini boleh tersekat dan akhirnya cecair ini akan terperangkap di saluran telinga.
Jangkitan telinga kanak-kanak juga lebih kerap terjadi daripada jangkitan telinga orang dewasa kerana tiub eustachian mereka lebih kecil dan lebih rata berbanding tiub orang dewasa.
Ini menyebebkan cecair yang terperangkap itu lebih sukar untuk keluar dari telinga (biarpun kanak-kanak itu sihat).
Sistem imun kanak-kanak juga tidak sekuat imun orang dewasa dan menyebabkan mereka lebih sukar untuk melawan jangkitan.
Risko jangkitan telinga kanak-kanak
Terdapat risiko utama dan risiko sekunder untuk jangkitan telinga kanak-kanak. Mari kita lihat apakah ia:
Risiko utama
- Usia (kanak-kanak bawah 3 tahun paling mudah terdedah)
- Kanak-kanak yang ada sistem imun yang lemah
- Sejarah keluarga dengan jangkitan telinga
- Minum susu botol sambil tidur atau berbaring
Risiko sekunder
- Selalu selesema dan mendapat jangkitan pernafasan
- Pendedahan kepada asap rokok
- Berada di pusat penjagaan kanak-kanak dengan kanak-kanak lain
Tanda-tanda jangkitan telinga kanak-kanak

Tanda jangkitan telinga kanak-kanak : cecair kuning atau putih yang mengalir keluar dari teling. Sumber gambar: Youtube
- Sakit telinga
- Demam
- Cecair kuning atau putih yang mengalir keluar dari telinga
- Masalah tidur (sakit ketika berbaring)
- Kurang selera makan (sakit ketika mengunyah dan menelan)
- Bau busuk dari telinga
- Masalah pendengaran
- Tidak dapat menyeimbangkan diri
- Fussy dan kerap menangis
- Anak selalu tarik telinga
Cara merawat jangkitan telinga kanak-kanak
Sekiranya ia hanya jangkitan luar, doktor boleh merawatnya dengan titisan telinga. Tapi untuk jangkitan di tengah telinga, doktor mungkin akan memberikan dos antibiotik yang mengambil 7-10 hari.
Ubat sakit demam juga akan diberi tetapi paling penting anak kena habiskan dos antibiotik.
Untuk jangkitan yang berulang, doktor mungkin akan mencadangkan pembedahan untuk meletakkan tiub pengudaraan kecil di gegendang telinga. Ini memperbaiki aliran udara dan menghalang pembentukan cecair.
Jangan risau jika doktor melakukan ujian pendengaran. Cecair di telinga boleh menyebabkan anak kehilangan sedikit fungsi pendengarannya. Ini hanya sementara dan akan kembali seperti biasa apabila pulih.
Cara mengelak jangkitan telinga kanak-kanak
- Jauhi kanak-kanak sakit
- Dapatkan vaksin Pneumococcal, Haemophilus dan Flu
- Kerapkan mencuci tangan
- Jauhi anak dari asap rokok
- Jangan biar anak tidur sambil minum susu
Jangkitan telinga kanak-kanak, serius atau tidak?
Sekiranya tidak dirawat atau jangkitannya sangat teruk, gegendang telinga anak boleh pecah.
Jangkitan yang berulang boleh menjejaskan pendengaran dan meninggalkan parut.
Jika anak mempunyai demam yang berterusan, dapatkan nasihat doktor. Anak anda mungkin mempunyai jangkitan telinga.
Sumber: Singhealth, National Institute of Deafness and Other Communication Disorders
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
The post Jangkitan telinga pada anak, bahaya yang ibu bapa perlu tahu appeared first on Malaysian Parenting and Motherhood advice.