Gejala muka, tangan dan kaki bengkak dengan tiba-tiba, sakit kepala atau muntah pada trimester kedua kehamilan dianggap biasa oleh sesetengah ibu hamil hingga ia tidak diberikan perhatian serius, namun ia sebenarnya mungkin menandakan gangguan lebih serius iaitu praeklampsia.
Mereka mungkin mengabaikan gejala yang dialami kerana menganggap normal akibat perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya ia adalah mungkin tanda awal praeklampsia.
Praeklampsia ialah masalah yang dialami ketika hamil dan biasa berlaku pada trimester kedua kehamilan.
Trimester kedua kehamilan praeklampsia mungkin menyerang
Praeklampsia bercirikan tekanan darah yang tinggi, bengkak (edema) yang berlaku secara tiba-tiba, kenaikan berat badan mendadak disebabkan pengumpulan air di dalam tubuh serta kehadiran protein dalam air kencing.
Praeklampsia tidak memiliki gejala khusus. Namun kebanyakan penderita praeklampsia memiliki ciri bertekanan darah tinggi dan terdapat protein pada air kencing. Biasanya ia bermula setelah usia kehamilan 20 minggu pada wanita yang tekanan darahnya normal.
Menurut doktor perubatan Rudy Kurniawan, hanya terjadi kepada wanita hamil dan ia bukanlah darah tinggi.
Punca terjadinya praeklampsia
Masih tidak dapat dipastikan sebab terjadinya praeklampsia, tetapi ia mungkin berlaku akibat daripada plasenta yang tidak membesar dengan baik.
Jika anda mengalami praeklampsia, aliran darah melalui plasenta menjadi kurang. Ini akan menjejaskan bayi anda kerana dia tidak mendapat oksigen dan nutrien yang cukup.
Kekurangan oksigen dan nutrien boleh menyekat tumbesaran bayi anda.
Golongan berisiko diserang praeklampsia
Tiada ciri khussu mereka yang diserang praeklampsia tetapi terdapat kumpulan yang berisiko tinggi menghidapnya. Mereka ini termasuklah:
- Usia belasan tahun atau 40 tahun ke atas
- Mengandung kali pertama
- Pernah mengalami praeklampsia atau eklampsia dalam kandungan sebelumnya
- Mempunyai saudara, adik-beradik atau ibu yang pernah mengalami praeklampsia
- Mengalami obesitidengan BMI lebih daripada 30
- Wanita yang sudah pun mengalami hipertensi dan kencing manis sebelum hami
- Wanita yang mengalami kandungan kembar atau molar (uri besar).
Adakah anda mengalami praeklampsia?
Jangan pandang ringan jika anda sedang hamil dan mengalami simptom-simptom ini kerana anda mungkin diserang praeklampsia. Eloklah rujuk doktor dengan segera supaya tidak timbul sebarang komplikasi lain yang boleh membahayakan nyawa anda dan bayi.
Segeralah ke hospital untuk membuat pemerikasaan sekiranya anda mengalami tanda berikut:
- Sakit kepala
- Pening
- Mata kabur
- Pandangan bercahaya/silau
- Sakit tengkuk
- Loya atau muntah-muntah
- Pedih ulu hati
- Rasa kurang sihat
- Bengkak di muka, kaki atau tangan secara mendadak
Bolehkah praeklampsia menyebabkan komplikasi lain?
Jika praeklampsia berlarutan dari ringan kepada teruk, ia mula menjejaskan sistem-sistem badan anda yang lain apabila ia semakin teruk.
Ini bermakna anda mungkin mendapat simptom-simptom yang lebih serius. Jika doktor anda tidak tahu anda menghidap praeklampsia, anda tidak akan mendapat penjagaan yang betul dan komplikasi yang membimbangkan boleh berlaku.
Antara komplikasi lain yang mungkin dihadapi adalah kegagalan hati dan buah pinggang, strok (pendarahan serebrum), cecair dalam paru-paru (edema pulmonari) dan hilang penglihatan.
Rawat cepat elak eklampsia
Menurut laporan Harian Metro yang memetik, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan , Prof Dr Nik Hazlina Nik Hussain,jika tekanan darah naik secara sederhana, ibu akan dinasihatkan untuk banyak berehat.
Caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri kerana ia membantu pengaliran darah ke plasenta atau duduk dalam posisi tegak. Mereka juga dinasihatkan mengambil tekanan darah sama ada di rumah atau di hospital secara berkala.
Katanya, jika tekanan darah melambung naik, ibu akan dimasukkan ke hospital supaya keadaannya boleh dipantau oleh doktor. Imbasan ultra bunyi akan dijalankan untuk mengesan tumbesaran bayi dan alat kardiotograf (CTG) digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi dan kesihatannya secara umum.
Ibu berkenaan juga, katanya, mungkin diberikan suntikan ubat magnesium sulfat. Kajian penyelidikan yang diterbitkan pada 2002 mendapati jika ibu yang mempunyai praeklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan sehingga separuh.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: Republika, ColumbiaAsia, Harian Metro
Baca juga:
Praeklampsia: Tanda, Risiko Dan Cara Pencegahan Yang Ibu Hamil Perlu Tahu
The post Praeklampsia Tak Sama Dengan Darah Tinggi, Ibu Hamil Perlu Peka Elak Komplikasi! appeared first on theAsianparent-Panduan Untuk Kehamilan, Bayi & Besarkan Anak.