Kenaikan berat badan yang mendadak bagi wanita hamil adalah perkara yang normal. Tetapi sebenarnya, makan untuk dua orang bukanlah ‘lesen’ untuk seseorang wanita hamil membiarkan berat badannya naik mendadak tanpa di kawal.
Pernahkah anda terfikir tentang kenaikan berat badan yang sihat semasa hamil? Adakah kenaikan berat badan yang sihat semasa hamil? Apakah kesannya kenaikan berat badan semasa hamil tidak terkawal? Dan apakah pula kesannya jika berat badan turun semasa hamil?
Baca juga: 7 Makanan Penurun Berat Badan & Meningkatkan Penghasilan Susu Ibu
Berat badan wanita semasa hamil yang normal
Sebenarnya, tidak ada satu angka yang tetap untuk menentukan kenaikan berat badan yang sihat.
Tetapi, kadar indeks jisim berat badan wanita (BMI) sebelum hamil boleh membantu mencadangan kenaikan berat badan yang sihat sepanjang tempoh mengandung. Dengan erti kata lain, BMI anda sebelum hamil, akan menentukan berapa kenaikan berat badan yang sihat semasa hamil.
BMI atau indeks jisim badan ialah apabila berat badan dibahagi dengan ketinggian untuk membuat anggaran lemak badan kita. Cara mengira BMI ialah:
BMI = berat badan (kg) ÷ [ketinggian (m) x ketinggian (m)]
Contohnya:
Berat badan = 50kg, ketinggian 1.5m
BMI = 50kg ÷ [1.5m x 1.5m]
BMI = 50kg ÷2.25m
BMI = 22.2
Menurut WHO, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kategori BMI ialah;

Kategori BMI untuk wanita, foto ehsan allizhealth
- BMI < 18.5 : terlalu kurus
- BMI 18.5 -24.9 : sihat
- BMI 25 – 29.9 : berlebihan
- BMI 30 ke atas : obesiti, lemak badan yang merbahayakan kesihatan.
Akan tetapi, kategori daripada WHO ini tidak sesuai untuk orang Asia. Ini kerana, rangka orang Asia tidak sama seperti orang Caucasians (orang putih), di mana mereka mempunyai rangka yang lebih besar.
Selain itu, orang Asia lebih cenderung mendapat penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung pada BMI yang lebih rendah berbanding mereka.

Perbezaan BMI Causasian dan BMI Asia, foto ehsan slideshare
Cadangan kenaikan berat badan yang ideal ketika hamil
Menurut WHO lagi, kenaikan berat badan yang sihat ialah:

Cadangan kenaikan berat badan sihat, foto ehsan stuff.co.nz
Cadangan kenaikan berat badan dari Institut of Medicine Guidelines for Healthy Weight Gain in Pregnancy ialah;
- BMI < 18.5 : 12.5 – 18kg
- BMI 18.5 -24.9 : 11.5 – 16kg
- BMI 25 – 29.9 : 7 – 11.5kg
- BMI 30 ke atas : 5 – 9kg
Walaubagaimanapun, ini adalah berdasarkan BMI Caucasian. Untuk BMI Asia, kenaikan berat badan mengikut BMI ialah;
BMI < 18.5 : 12.5 – 18kg
BMI 18.5 -22.9 : 11.5 – 16kg
BMI 23- 26.9 : 7 – 11.5kg
BMI 27 ke atas : 5 – 9kg
Jadi, berdasarkan rajah di atas, jika BMI 22.2 sebelum hamil, cuba hadkan kenaikan berat badan wanita semasa hamil tidak melebihi 16kg.
Lebih tinggi BMI anda sebelum hamil, lebih rendah kenaikan berat badan yang disarankan semasa hamil.
Kenaikan berat badan yang berlebihan boleh meningkatkan risiko pelbagai komplikasi semasa hamil.
Antaranya ialah diabetes semasa hamil (gestational diabetes), gangguan tekanan darah tinggi, uri di bawah, dan termasuklah lebih tinggi risiko perlukan pembedahan caesarean.
Begitu jugalah sebaliknya. Jika kenaikan berat badan terlalu sedikit, pelbagai risiko kehamilan juga boleh terjadi. Antaranya ialah kelahiran bayi pra matang dan bayi tidak cukup berat.
Disebabkan inilah kenaikan berat badan yang sihat dicadangkan. Ada pelbagai cara anda boleh memastikan kenaikan berat badan yang sihat semasa hamil. Antaranya ialah senaman ringan dan pemakanan yang sihat.
Amalkan gaya hidup sihat ketika hamil
Secara kesimpulannya, amalan gaya hidup sihat itu penting walaupun sedang hamil. Ia adalah demi kesihatan ibu dan bayi di dalam kandungan. Elakkan tabiat ‘makan untuk dua orang’ kerana ia hanya boleh menyebabkan anda makan dalam kuantiti yang berlebihan.
Bagi memastikan proses melahirkan bayi berjalan dengan lancar, sentiasa amalkan makanan seimbang seperti mengambil sayur-sayuran dan buah setiap hari. Ia membekalkan nutrisi penting yang diperlukan tubuh dan mampu merangsang perkembangan janin dengan baik.
Selain itu luangkan sedikit waktu untuk melakukan senaman ringan khusus untuk ibu mengandung agar membolehkan tubuh badan sentiasa aktif dan lebih bersedia untuk melalui proses bersalin kelak.
Jadi, dapatkan nasihat daripada doktor anda tentang kenaikan berat badan anda dan pastikan ia sentiasa dipantau ya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Berat Badan Berlebihan Ibu Hamil Boleh Sebabkan Proses Kelahiran Ambil Masa Lama!
The post Ibu Hamil Kena Jaga Berat Badan & BMI Agar Tidak Membahayakan Kandungan appeared first on theAsianparent-Panduan Untuk Kehamilan, Bayi & Besarkan Anak.