Mesti ramai ibu-ibu yang sedang mencari cara hilangkan sakit belakang ketika hamil. Sakit-sakit badan dan sakit belakang ketika wanita hamil seolah-olah berpisah tiada. Itulah pengorbanan seorang ibu membawa anak dalam kandungan selama sembilan bulan. Walaupun sakit belakang ini adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam kalangan wanita hamil tetapi ia tidak boleh dipandang remeh.
Sakitnya bukan sakit-sakit biasa. Betul tak? Boleh jadi pening kepala bila nak cari hilangkan sakit belakang. Pusing macam mana pun anda masih lagi rasa tidak selesa. Tidak larat rasanya ibu nak menanggung. Yang paling teruk sekali buat si ibu ialah apabila masalah sakit belakang ketika hamil ini mengganggu kemampuan si ibu untuk berkerja atau melakukan aktiviti harian disebabkan oleh sakit yang terlampau teruk.
Cara hilangkan sakit belakang, ketahui simptom

Foto: iStock
Sakit belakang ketika hamil akan mula dirasai pada bahagian atas pinggang pada bahagian belakang. Malah, kesakitannya turut dirasai dan menjalar pada bahagian kaki wanita hamil. Sakit ini dinamakan sciatica.
Bila sakit belakang ketika hamil akan muncul?
Kebanyakan wanita yang hamil akan mengalami masalah sakit belakang sebaik sahaja memasuki trimester kedua. Kajian turut mendapati bahawa masalah sakit belakang sewaktu hamil ini akan bermula pada bulan kelima dan ketujuh kehamilan. Namun, waktu untuk wanita hamil mendapat sakit belakang adalah berbeza-beza. Ada yang mendapat sakit lebih awal dan ada juga yang lambat.
Wanita yang mempunyai sejarah sakit belakang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat sakit belakang sewaktu hamil dengan lebih awal.
Punca sakit belakang dalam kalangan wanita hamil
Terdapat banyak punca yang menyebabkan sakit belakang dalam kalangan wanita hamil. Antaranya ialah:
- Berat badan bertambah: Disebabkan oleh saiz dan berat bayi yang bertambah, ia menyebabkan badan ibu terpaksa menanggung tekanan berlebihan lalu mengakibatkan sakit belakang. Lantas, ianya memberikan tambahan bebanan pada bahagian bawah belakang badan si ibu.
- Peningkatan hormon: Tahukah anda bahawa wanita hamil mengalami peningkatan hormon. Ia bukanlah sesuatu yang anda perlu bimbangkan kerana ia merupakan sesuatu yang normal. Peningkatan hormon menyebabkan ligamen dan sendi dalam ruang pelvis menjadi longgar untuk membantu melancarkan proses kelahiran. Akibatnya adalah ia akan mengurangkan sokongan pada bahagian belakang.
- Perubahan pusat graviti: Semakin besar kandungan anda, semakin berubahlah pusat graviti anda. Ianya akan berubah untuk menjadi semakin ke hadapan.
- Otot mula menjadi lemah: Otot abdomen pada wanita hamil yang menyokong bahagian belakang akan menjadi lemah dan meregang.
Mesti anda tidak sabar untuk membaca cara untuk hilangkan sakit belakang ketika hamil. Jangan risau! Ada jalan penyelesaiannya untuk membantu mengurangkan sakit belakang anda. Mari kita baca selanjutnya.
Cara hilangkan sakit belakang ketika hamil
#1 Membuat senaman

Foto: iStock
Senaman adalah amat digalakkan untuk ibu-ibu yang mengandung. Tetapi, syaratnya adalah anda perlu buat senaman ringan. Sebagai contoh, anda boleh melakukan senaman kegel, senaman perut ataupun senaman yoga. Ia akan membantu meregangkan belakang badan anda. Yang penting, kena senaman yang ringan sahaja. Rujuk doktor anda sebelum melakukan senaman.
#2 Letakkan pad panas atau mandi dengan air panas
Gunakan pad panas dan letakkannya pada bahagian belakang badan untuk mengurangkan sakit belakang yang anda alami. Anda juga boleh mandi dengan air panas untuk melegakan sakit belakang tetapi jangan pula anda berendam dalam air panas pula ya.
#3 Amalkan postur yang baik
Ingat tak mengenai perubahan graviti wanita hamil yang kami ceritakan sewaktu mula-mula tadi? Apabila pusat graviti sudah berubah ke depan, jadi anda akan mudah untuk jatuh ataupun kurang daya imbangan sekiranya anda tidak berhati-hati. Apa yang anda perlu lakukan ialah:
- Berdiri dengan tegak
- Pastikan bahu anda dalam keadaan rileks dan tenang
- Buka kaki sebesar bahu dengan ibu jari kaki lurus
#4 Dapatkan sokongan untuk bahagian belakang anda
Anda boleh gunakan cara ini untuk hilangkan sakit belakang badan ketika hamil dengan meletakkan bantal kecil pada bahagian belakang sewaktu anda duduk. Atau dapatkan tilam atau bantal khas agar ianya membantu melegakan kesakitan bahagian belakang. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan tali pinggang sokongan (maternity support belt) untuk membantu menyokong bahagian perut serta belakang badan.
#5 Tidur mengiring atau duduk

Foto: iStock
Jangan tidur terlentang sekiranya ia menyakitkan belakang badan anda malah ia turut membahayakan bayi dalam kandungan jika sudah cecah usia 20 minggu keatas. Tidurlah secara mengiring untuk mengurangkan tekanan yang dirasai. Posisi tidur yang betul amat membantu untuk anda berasa tenang sewaktu ingin tidur. Anda juga boleh letakkan bantal kecil pada bahagian kaki. Jika anda tak boleh tidur baring, maka tidur dalam keadaan duduk juga boleh memberi keselesaan, cuma pastikan ada bantal untuk menyokong kepala dan pinggang.
Bila anda patut risau mengenai sakit belakang?
Jika anda mengalami mana-mana tanda ini, sila berjumpa doktor dengan kadar segera.
- Sakit belakang yang disertai dengan pendarahan pada alat kemaluan
- Sakit sewaktu hendak kencing
- Demam atau suhu badan yang tinggi
Sumber: doctoroncall
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Cara Mudah Menghilangkan Sakit Belakang Selepas Bersalin
The post Mesti Cuba! 5 Cara Hilangkan Sakit Belakang Ketika Hamil Untuk Bakal Ibu! appeared first on theAsianparent-Panduan Untuk Kehamilan, Bayi & Besarkan Anak.