Sebenarnya kalau ibu-ibu bentan ketika pantang, anda perlu redakan demam anda terlebih dahulu. Makan panadol atau ubat tahan sakit yang diberi oleh doktor, jangan risau selalunya doktor akan berikan anda ubatan yang sesuai untuk ibu yang menyusu badan. Dan kalau boleh rehatlah secukupnya, tidak perlu keluar rumah jika bukan urusan penting.
Bentan ketika berpantang memang sering dialami sekiranya ibu-ibu tidak menjaga kesihatan dengan betul dalam pantang. Selepas bersalin badan ibu perlu berehat dan mengambil masa untuk pulih. Disebabkan itu ibu dalam pantang tak boleh sesuka hati buat kerja berat, mendokong anak yang sudah besar, memandu dan banyak lagi.
Bentan ini merupakan situasi apabila ibu dalam pantang rasa sakit-sakit urat dan demam setelah hampir sembuh dari bersalin.
Ada juga yang mengatakan bentan ini muncul apabila adanya jangkitan kuman pada bahagian peranakan, rahim atau pundi kencing terutama jika kebersihan kurang diambil berat sepanjang berada dalam tempoh berpantang.
Tanda tanda bentan ketika pantang yang harus peka
#1. Badan sejuk-sejuk
Wanita berpantang biasanya dinasihatkan supaya menjaga pemakanan, pergerakan dan tingkah laku serta sentiasa memakai stokin supaya badan sentiasa berasa hangat. Namun, jika secara tiba-tiba anda mengalami sejuk-sejuk sampai kena tarik selimut sepanjang masa, jaga-jaga mungkin anda terkena bentan.
Bila tanda ini muncul, semak semula apa yang anda silap makan atau ada pantang larang yang mungkin anda langgar hingga membuatkan badan terasa sejuk semacam.
Ini juga merupakan simptom awal bentan yang membuatkan badan terasa sejuk sehingga terketar-ketar biasanya disebabkan jangkitan di bahagian peranakan atau pundi kencing.
#2. Demam
Selepas mengalami sejuk-sejuk, anda akan terasa badan macam nak demam hingga nak bangun dari katil pun rasa tak larat. Jaga-jaga mungkin anda sedang mengalami bentan!
#3. Menggigil secara tiba-tiba
Selepas sejuk dan demam, automatik badan akan turut menggigil kesejukan meskipun pada ketika itu anda telah memakai pakaian yang berlengan panjang, stokin dan sebagainya tapi badan tetap menggigil itu tandanya anda sedang bentan. Jadi hati-hati dalam fasa ini.
#4. Rasa nak pitam atau pengsan
Selain itu, tanda tanda bentan pada wanita berpantang juga adalah rasa nak pitam, pengsan, lemah anggota badan, lesu dan sebagainya. Ini berlaku kerana kekurangan darah hingga membuatkan badan belum pulih sepenuhnya. Jadi elakkan makanan yang berangin dan tajam supaya badan cepat sembuh dari bersalin.
#5. Pendarahan yang lama dan tumpah darah
Pendarahan yang terlalu lama juga merupakan simptom pada bentan hingga keluarnya darah yang terlalu banyak tidak seperti selalu. Jika keadaan ini tidak terkawal segera minta suami bawa anda ke hospital.
#6. Sakit di bahagian ari-ari
Sakit di bahagian ari-ari ini juga boleh menyebabkan berlakunya tumpah darah semasa anda sedang berjalan atau bergerak. Ia terjadi disebabkan anda mengangkat objek berat, tersepak ibu jari kaki, jatuh terduduk atau punggung terhempas ke lantai yang menyebabkan bentan di bahagian urat peranakan.
#7. Lenguh di bahagian belakang
Urat besar atau kita panggil sebagai urat buluh rahim biasanya melalui bahagian pinggul dan menyebabkan rasa lenguh dan sakit di atas bahagian belakang badan. Keadaan ini biasanya terjadi kepada ibu yang bersalin secara pembedahan czer. Kadang-kadang terasa di bahagian tumit sampai berjalan pun nak kena berjingkit.
Cara elak bentan
Ini beberapa tips mudah untuk mengelak daripada bentan selepas bersalin.
- Menjaga pemakanan dengan baik kerana ada sesetengah makanan tidak sesuai diambil semasa tempoh berpantang. Ia bertujuan supaya proses penyembuhan lebih cepat.
- Pakai stokin supaya badan kekal hangat dan elak sejuk atau kembung.
- Sentiasa menjaga kebersihan kerana selepas bersalin badan ibu mudah terkena jangkitan di bahagian tertentu atau tempat luka.
- Rajinkan diri dengan bertungku supaya dapat melancarkan darah beku sekaligus peredaran darah berjalan dengan lebih lancar.
- Elakkan membuat kerja atau mengangkat barang yang berat semasa berpantang contohnya kerusi, kotak, bakul baju anak dan lain-lain.
Justeru, jika anda mengalami beberapa tanda tanda bentan seperti yang diterangkan di atas jangan berlengah lagi untuk terus ke hospital atau klinik berdekatan supaya dapat dipantau oleh doktor dan jururawat. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Pemakaian Korset Moden Untuk Ibu Yang Selepas Bersalin, Agar Kembali Ramping
The post Apa Itu Bentan Ketika Pantang? Ini Tanda-Tanda PENTING Ibu Baru Perlu Peka appeared first on theAsianparent-Panduan Untuk Kehamilan, Bayi & Besarkan Anak.