Bila sudah hamil, antara soalan cepumas yang ramai wanita sering tertanya-tanya ialah: bila nak buka buku merah/buku pink di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak? Sekarang atau tunggu janin capai usia tertentu?
Nak pula musim PKP ini, macam mana prosedurnya? Adakah masih sama atau perlu membuat temujanji secara atas talian terlebih dahulu?
Haa…maka, kami pun dengan penuh tanggungjawab mulalah mengkaji dan mencari jawapan lengkap untuk semua persoalan ini. Moga-moga, ibu yang hamil pertama kali dapat mengambil manfaat daripada perkongsian maklumat ini.
Buka buku merah/buku pink di Klinik Kesihatan Ibu & Anak – Proses yang terlibat

Kredit: Sarah-livelovelife.blogspot.com
Untuk pengetahuan ibu semua, buku merah atau buku pink perlu dibuat di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) selepas anda yakin yang anda telah hamil dan telah membuat ujian kehamilan di rumah.
Selalunya, usia kandungan yang sesuai untuk anda pergi ke KKIA berdekatan adalah sebelum ia mencecah umur 12 minggu. Kalau lewat, nanti klinik itu akan melabelkan anda sebagai “late booking”.
Dan untuk tempoh PKP ini, cara nak buka buku pink memang berlainan sedikit. Anda perlu telefon Klinik Kesihatan terdekat dengan kediaman anda.
Sekiranya tidak dapat dihubungi jangan risau, anda boleh terus layari laman web tempahan temujanji mengikut negeri masing-masing. Contohnya jika anda di Selangor, anda boleh buat tempahan di https://jknselangor.moh.gov.my/bmv/cari slot temujanji KP/KK.
Di situ anda boleh isi segala maklumat yang penting tapi sebelum tu, pilih klinik kesihatan terdekat dengan anda ya. Bila dah siap semua, boleh la screen shot sebagai bukti pada hari temujanji nanti.
Apa nak bawa ketika mendaftar di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak untuk buka buku pink?

Kredit: Drzubaidi.com
Semasa hadir untuk mendaftar di KKIA, pastikan anda membawa beberapa dokumen penting seperti:
- IC diri
- IC suami
- Sijil nikah
- Bil air/eletrik rumah untuk pengesahan alamat
- Surat rujukan doktor jika ada
Selepas selesai mendaftar, maka anda pun akan menerima buku merah/buku pink anda yang pertama.
Ingat, buku ini perlu dijaga dengan baik dan dibawa ke mana sahaja anda pergi sepanjang kehamilan, termasuklah ketika pemeriksaan kehamilan yang seterusnya di KKIA.
Kenapa? Supaya sekiranya apa-apa terjadi, doktor dapat merujuk kepada rekod kesihatan yang tercatat dalam buku merah anda.
Pemeriksaan pertama ketika mendaftar di KKIA
Untuk pemeriksaan yang pertama, anda perlu menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan. Ia adalah:
- Ujian darah
- Suntikan kancing gigi (untuk kehamilan pertama)
- Ujian air kencing
Apa nak buat kalau buku merah hilang?
Untuk ibu mengandung, buku merah ini umpama IC kita. Kalau ia hilang, maka anda perlu buat laporan polis dan kemudian membawa kertas laporan ini ke klinik kesihatan untuk membuat buku baru.
Ada juga sesetengah klinik yang tidak memberikan buku baru tetapi hanya mencatat rekod kesihatan dalam kertas sahaja dan ia semua akan dikumpul dan di-stapler sekali!
Pengajaran: Jaga buku pink anda elok-elok, jangan sampai hilang!
Pemeriksaan ketika buat pemeriksaan kehamilan di klinik kesihatan

Kredit: Jaeltung.blospot.com
Selepas segala urusan membuat buku merah atau buku pink selesai, maka anda perlu mengikuti rutin pemeriksaan kehamilan di klinik kesihatan yang anda pilih.
Secara amnya, jadual untuk anda hadir buat pemeriksaan adalah seperti berikut:
- Awal kehamilan hingga minggu ke 28 atau kandungan 7 bulan: sekali sebulan
- Kandungan 8 bulan: Dua minggu sekali
- Selepas kandungan 8 bulan hingga anda bersalin: setiap minggu
Antara pemeriksaan yang akan dijalankan oleh jururawat di klinik kesihatan ibu dan anak adalah:
- Soal jawab dengan jururawat bertugas tentang status kesihatan semasa anda dan pergerakan bayi dalam kandungan
- Pemeriksaan dengan doktor bertugas (sekali-sekala sahaja)
- Pemeriksaan tekanan darah
- Ujian air kencing (memeriksa gula dan protein)
- Mengukur berat badan
- Memeriksa kedudukan dan saiz bayi dalam perut
- Memeriksa degupan jantung bayi
- Memeriksa bengkak kaki, muka dan tangan
Pemeriksaan akan berubah dan dibuat secara rapi jika doktor mendapati anda mengalami kehamilan berisiko tinggi.
Tak perlu risau, ikut sahaja nasihat dan saranan doktor sepanjang kehamilan anda. Pasti proses mengandung anda selama 9 bulan akan berjalan lancar dengan bantuan pemeriksaan daripada doktor yang pakar.
Selamat menghayati pengalaman kehamilan yang indah tersebut dan semoga segalanya berjalan dengan lancar!
Sumber: KKM
Foto: Motherhood, Simplynoorul
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ramai Ibu Muntah Bila Minum Air Gula, Ini Cara Yang Betul Untuk Ibu Hamil
The post Proses Buka Buku Pink Di KK Adakah Masih Sama Ketika Pandemik? Penting Untuk Ibu Hamil Tahu appeared first on theAsianparent-Panduan Untuk Kehamilan, Bayi & Besarkan Anak.