Tumbesaran seorang bayi pada satu tahun pertama hidupnya merupakan tahun perkembangan dan tumbesaran paling laju dalam hidup seorang manusia.
Jadi, tidak hairanlah jika ramai yang akan berkata, “Cepatnya anak awak besar!” atau “Tak sangka masa cepat berlalu!”.
Apa yang anda boleh lakukan semasa fasa ini adalah menikmati melihat bayi anda membesar setiap bulan.
Perkembangan Fizikal
Sebaik saja dilahirkan, bayi akan mula menguasai beberapa kebolehan walaupun dia ada banyak lagi milestone tumbesaran untuk dicapai.

Kredit: Pixabay.com
Bayi yang baru lahir tanpa sebarang komplikasi akan terus ada naluri semulajadi untuk belajar bernafas, menggenggam jarinya, mengenal bau ibunya sendiri dan membandingkan bau itu dengan bau orang lain.
Malah, ada juga bayi sudah belajar untuk menghisap jarinya semasa dalam rahim lagi!
Anda mungkin merasakan yang bayi baru lahir hanya tahu tidur, menyusu, menangis, dan perlu ditukar lampinnya selalu.
Pada usia ini, bayi anda belum lagi boleh mengawal otot dan hanya bergantung kepada aksi refleks seperti menghisap, menguap, bersin dan menangis.
Semasa dia membesar dalam sebulan pertama, dia akan mula tahu yang dia boleh mengawal badannya sendiri.
Pertamanya, dia akan meneroka tangan dan jari-jemari.
Dia akan rasa teruja mengetahui yang dia boleh menggenggam tangan anda apabila jarinya dipegang atau menghisap sesuatu untuk mendapatkan rasa tenang atau apabila dia lapar!
Perkembangan Sensori
Merangkak, berjalan, berlari, malah menari akan mula dilakukan oleh bayi anda; lebih cepat daripada yang dijangkakan.
Tapi, ia hanya akan bermula selepas bayi anda belajar mengenal badannya sendiri dan mula berinteraksi dengan dunia di sekelilingnya.
1. Penglihatan
Bayi akan mula membuka matanya. Walaupun pada waktu ini matanya belum mampu fokus pada objek yang jauh dari 1 meter, tapi dia boleh memfokus secara tepat pada muka anda apabila didukung.
Jarak ini adalah lebih kurang jarak dari mata ke dada anda.
Oleh sebab itu, pada usia ini, melihat ke mata anak anda adalah satu cara yang penting untuk berhubung, atau bonding, dengannya.
Luangkanlah masa untuk melihat si kecil anda; lihat bentuk tubuhnya, badannya yang kecil, dan mula berkenalan dengannya dengan melihat wajah serta senyuman bayi anda.
Bayi anda juga dapat berkenalan dengan anda apabila dia melihat wajah ayah dan ibunya.
2. Pendengaran

Kredit: Pinterest.com
Bayi anda juga boleh mula mendengar semasa di usia kehamilan 28 minggu. Dari dalam perut ibunya, dia sudah boleh mendengar bunyi dalam tubuh ibu serta bunyi dari dunia luar rahim.
Bayi yang baru lahir ditenangkan oleh suara ibunya yang bercakap atau menyanyi kepadanya, dan bayi usia sebulan juga sudah pandai untuk berasa sedih apabila terdengar bunyi garang atau menyedihkan.
Kajian juga telah membuktikan yang bayi baru lahir memberikan lebih respon pada bunyi suara tinggi wanita berbanding lelaki.
Sebab itulah, kita dapat lihat ramai para ayah akan bersuara nyaring apabila bercakap dengan bayi (comelnya!) untuk meniru suara high-pitch wanita.
3. Bau

Kredit: Flickr
Hidung si kecil juga sensitif pada usia 1 bulan. Sehinggakan, dia mampu untuk membezakan antara bau ibu dengan bau orang asing.
Ini digabungkan dengan deria rasa yang elok berkembang (tahukah anda yang bayi mempunyai deria rasa yang lebih tajam dari orang dewasa?) di mana ia mampu untuk membiasakan dirinya dengan rasa manis susu badan ibu atau susu formula.
4. Sentuhan
Semua orang memerlukan sentuhan fizikal yang lembut dan menenangkan untuk rasa sejahtera dan bahagia; begitu juga dengan bayi anda.
Mengurut si kecil yang baru lahir itu juga adalah satu cara bonding yang berkesan. Dia pasti merasakan yang sentuhan ibu atau ayahnya amat menenangkan!
Urutan lembut juga membantu untuk tumbesaran bayi anda, terutamanya bahagian otot.
5. Refleks

Kredit: Livestrong.com
Bayi juga lahir dengan beberapa refleks, di mana ia penting untuk survival dirinya!
Ini termasuklah refleks rooting, iaitu kemahiran untuk mencari payudara ibunya apabila pipi bayi diletakkan berhampiran dengan bahagian dada.
Selain itu, bayi anda juga mempunyai refleks menghisap dan menelan yang membolehkannya untuk minum, dan refleks gag, iaitu kebolehan yang mengelakkanya daripada minum terlampau banyak cecair.
Bayi yang baru lahir juga boleh mengeluarkan mukus yang memenuhi peparu semasa 9 bulan dalam rahim!
Apabila bayi anda meniarap, dia secara automatik akan mengangkat kepala untuk membolehkannya bernafas; dia tidak akan menelangkup kepalanya ke lantai.
Ini dipanggil refleks labyrinthine.
Perkembangan Kognitif
Perkembangan kognitif adalah satu proses pembinaan pemikiran, termasuklah mengingat, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Bermula dari awal, bayi anda mampu menyerap segala informasi tentang dunia barunya dan maklumat tentang orang di sekeliling.
Bayi anda selalu memerhatikan anda, mendengar apa yang anda katakan, dan memerhatikan persekitarannya.
Perkembangan Emosi dan Sosial
Bayi yang baru lahir tidak akan menangis apabila mereka bosan, tetapi apabila mereka mahu keperluan asas mereka dipenuhi.
Contohnya lapar, lampin basah, berasa penat, dia terlampau panas atau sejuk dan sebagainya.
Ia adalah penting untuk anda tidak mengabaikan tangisan bayi anda yang baru berusia sebulan, ataupun membuatkan dia berasa tidak selesa terlampau lama.
Pada usia ini, menangis adalah cara komunikasi yang utama baginya, dan dia amat memerlukan anda memahami bahasa tangisan itu. Mengabaikannya mampu memudaratkan bayi anda.
Sewaktu umur 1 bulan, bayi anda juga mudah dipengaruhi oleh penjaganya. Si kecil anda akan mudah meragam ketika anda sedang marah-marah.
Dia juga pandai untuk fokus dan teruja apabila melihat anda gembira. Bayi sangat suka melihat wajah anda dan apabila diajak “bersembang” dengan suara yang lembut dan perlahan.
Anda juga perlu tahu yang sebagai sebahagian daripada perkembangan bayi anda, dia juga sudah mula pandai untuk mengekspresikan emosinya selepas melihat tingkahlaku anda.
Jadi, semakin anda tenang, semakin tenang juga bayi anda nanti.
Perkembangan Pertuturan dan Bahasa

Kredit: Pixabay.com
Satu fakta menarik tentang perkembangan bayi adalah perkembangan pertuturan dan bahasa bayi anda bermula selepas dia membina kemahiran mendengarnya.
amat penting untuk anda memantau kemahiran mendengar bayi, dan melihat sebarang tanda masalah atau jangkitan telinga, terutamanya jika ia kerap berlaku.
“Pertuturan” bayi yang pertama hanyalah bunyi-bunyian dan ia berlaku sebaik sahaja dia dilahirkan.
Bila Anda Perlu Risau?
Perkembangan bayi bergantung kepada pelbagai faktor antenatal dan postnatal.
Antaranya adalah seperti kesihatan ibu ketika hamil dan umur gestasi bayi ketika dilahirkan.
Contohnya, bayi yang lahir pada minggu ke 38 mungkin mencapai milestone lewat daripada bayi yang lahir pada usia 40 minggu.
Selain itu, ia turut bergantung kepada komplikasi ketika bersalin, penyakit yang dialami ketika baru lahir, dan faktor genetik serta persekitaran.
Anda juga perlu mengambil kira pengaruh personaliti, pendidikan dan sikap ibu bapa kepada bayi.
Bayi yang lahir dalam persekitaran yang sihat dan penyayang akan membesar dengan baik berbanding bayi yang tidak lahir dalam persekitaran seperti itu.
Di Mana Anda Boleh Dapatkan Bantuan
Jika bayi anda tidak mencapai usia purata untuk milestone perkembangan bayi dan kemajuannya sedikit lewat dan menyebabkan anda berasa risau, maka anda perlu membuat konsultasi dengan doktor pediatrik.
Ingatlah, kadar tumbesaran setiap bayi adalah berbeza. Setiap bayi itu unik dan mungkin ada yang akan mencapainya lebih cepat atau lebih lambat.
Namun, ia bukanlah penentu tentang bagaimana dia akan membesar.
Malah, si kecil anda yang lambat mencecah milestone ketika bayi mungkin akan membesar dengan baik sehingga menjadi seorang doktor atau saintis!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Panduan Lengkap: Tumbesaran Dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 12 Bulan
The post Panduan Lengkap: Tumbesaran Dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 1 Bulan appeared first on Malaysian Parenting and Motherhood advice.