Quantcast
Channel: Kehamilan - Tips Untuk Hamil Dan Bersalin
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4977

Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 3 Bulan

$
0
0

Eh, cepatnya… Anak sudah masuk 3 bulan? Pasti ramai ibu bapa yang merasai betapa cepat masa berlalu.

Tahukah anda, apabila si manja sudah mencapai usia 3 bulan, mereka tidak lagi dipanggil sebagai “bayi baru lahir” sebaliknya akan dikenali sebagai “bayi” sahaja?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 28 hari pertama untuk kehidupan bayi baru lahir adalah amat penting. Ketika ini, mereka memiliki risiko tinggi untuk tidak dapat meneruskan hidup.

Akan tetapi, lihatlah si comel anda itu sekarang! Dia sudah mencapai tahap seterusnya dan semakin membesar.

Jom kita lihat apa bayi berusia 3 bulan boleh buat…

Perkembangan Fizikal

milestone kanak-kanak 3 bulan

Kredit: MomJunction

1. Kekuatan bahagian atas badan

Si manja yang mencecah usia 3 bulan akan ada kekuatan di otot leher. 

Sebab itu ketika tummy time, atau ketika anda meletakkannya secara meniarap, dia sudah mampu mengangkat kepala, dada dan tangannya.

2. Kekuatan bahagian bawah badan

Apabila anda membiarkan mereka meniarap, anda akan nampak mereka sudah mampu merenggangkan kaki, malah menendang-nendang. 

Ini kerana mereka sudah ada kekuatan di bahagian bawah badan.

3. Kekuatan leher

Leher bayi anda makin kuat sekarang. Sebab itu bila anda mendukungnya secara menegak, kepala bayi itu tidak lagi “lembik” seakan ingin jatuh.

4. Keupayaan tangan dan mata

Si kecil ini sekarang juga sudah bijak membuka dan menutup genggaman tangannya. Malah, dia juga mampu memegang tangan sendiri.

Dia juga akan mudah tertarik pada barang permainan yang berwarna cerah. 

Jika anda letak sebarang permainan itu di hadapan dia, pasti dia ingin mencapainya dengan tangan!

5. Dari tangan ke mulut

milestone kanak-kanak 3 bulan

Kredit: BabyGearLab

Dia juga mampu untuk mencapai sebarang permainan dalam tangan dan memasukkannya ke dalam mulut.

Jadi, anda perlu lebih berhati-hati sekarang. Beri barang permainan yang selamat untuk bayi berdasarkan umurnya.

Jangan beri permainan yang ada komponen kecil kerana takut si kecil itu akan tertelan lalu tercekik.

6. Bergolek

Apabila masuk usia 3 bulan, bayi anda itu akan mampu bergolek jika anda menidurkannya secara terlentang.

Kena lebih berhati-hatilah ketika menyalin lampin lepas ini!

Perkembangan Sensori

milestone kanak-kanak 3 bulan

Kredit: BabyCenter

1. Sentuhan

Ketika ini, bayi anda akan lebih peka dan cuba untuk faham tentang benda-benda di sekelilingnya. 

Dia akan tertarik untuk menyentuh dan merasai semua benda.

2. Pendengaran

Ini yang paling seronok! Pada usia 3 bulan, anda akan perasan yang si manja ini akan memaling kepalanya dan tersenyum jika dia dengar suara anda.

Awww…. anak mummy sangat, kan?

Malah, dia juga mampu menunjukkan minat dalam lagu-lagu yang anda pasang! Lepas ini bolehlah anda kongsi lagu-lagu yang anda dengar padanya.

3. Penglihatan

Jika anda memandang si kecil ini, dia akan mengekalkan eye contact dengan anda.

Malah, dia juga akan melihat dirinya sendiri dengan penuh rasa ingin tahu jika anda letak dia di depan cermin.

Perkembangan Kognitif

milestone kanak-kanak 3 bulan

Kredit: MomJunction

1. Ramah

Dengan connection yang dibina dalam mindanya, si kecil ini juga akan semakin ramah. 

Malah, dia juga akan cepat kagum dan tertanya-tanya apabila melihat bayi-bayi lain yang ada di sekelilingnya, atau melihat muka sendiri di cermin.

2. Faham punca dan kesan

Apabila bayi berusia 3 bulan melihat barang permainan menarik dan tiba-tiba ia bergerak, dia akan mula memahami asas “punca dan kesan” pada permainan tersebut.

Ketika ini, otak si manja akan melakukan berjuta-juta hubungan sejajar dengan kemahiran yang dia baru pelajari.

3. Mengikut objek yang bergerak

Mata si manja akan semakin berfungsi dan bergerak sekali. Bayi akan belajar untuk memberi fokus, terutamanya pada objek yang bergerak.

Ketika ini, jika anda menggerakkan sebarang permainan (atau tangan anda!) yang ada di depan matanya, pasti dia akan mengikut objek itu. 

4. Senyum pada orang lain

Kalau dulu si kecil itu hanya mengukir senyuman pada anda dan pasangan, kini tak lagi. 

Dia akan semakin ramah dan lebih bijak mengukir senyuman pada sesiapa yang tersenyum padanya dulu.

5. Memahami emosi

Pada usia 3 bulan, bayi anda akan cuba untuk memahami emosi dan bagaimana ingin berkomunikasi. 

Biasanya, dia akan melihat apa yang anda cakap dan menanti-nanti ekspresi muka anda.

Perkembangan Pertuturan dan Bahasa

milestone kanak-kanak 3 bulan

Kredit: PinkyCloud

1. Komunikasi

Ketika ini, menangis bukan satu-satunya cara bayi ingin “bercakap” dengan anda.

Sebaliknya, bayi yang berusia 3 bulan sudah mampu untuk mengekspresikan dirinya dalam cara lain seperti menyebut bunyi vowel seperti “oh”, “ooh”, dan “ah”.

2. Bahasa bayi

Lebih banyak anda meluangkan masa untuk bercakap dengan si kecil ini, lebih cepat dia akan membina dan menyebut bunyi-bunyian tertentu.

Malah, bayi anda juga boleh memberi isyarat tangan yang tersendiri ketika cuba nak bercakap dengan anda!

Permainan Untuk Bayi 

Anda kena mula berinteraksi dengan si manja. Lagi kerap anda berinteraksi dengan mereka, lagi kukuh ikatan antara kalian.

Dan anda juga sebenarnya sedang menggalakkan lagi kemahiran tumbesaran mereka.

Mari cuba aktiviti dan permainan ini yang mampu merangsang bayi yang berusia 3 bulan:

1. Membaca atau bercerita

Si kecil itu mungkin masih tidak faham dengan semua perkataan yang anda sebut atau bacakan padanya. 

Tapi, jika anda kerap membaca pada dia, tanpa mengira berapa umurnya, ini akan membantu dia untuk memahami bunyi, perkataan dan bahasa yang berbeza.

Malah, dari situ juga anda sebenarnya sedang memupuk rasa cinta akan buku. Lepas ini, pasti si manja anda itu gemar membaca buku.

  • Apa Yang Anda Perlukan: buku bayi dengan gambar yang terang
  • Perkembangan Kemahiran Yang Akan Dibentuk: perkembangan penglihatan, bahasa dan pertuturan

2. Cuba capai dan ambil

milestone kanak-kanak 3 bulan

Kredit: BabyCenter

Oleh sebab dia sudah ada kekuatan otot leher, mampu mengawal pergerakan kepala dan kurang memerlukan sokongan, dia pasti akan menggemari permainan “mencapai” dan mengambil barang permainan.

Ketika itu juga dia akan belajar tentang dunia di sekelilingnya.

Cuba anda beri permainan bayi dengan warna yang terang padanya. Pasti dia cuba untuk mencapai dan mengambil permainan itu.

Malah, mungkin juga dia akan sengaja mencapai dan mengambil permainan itu untuk dimasukkan ke dalam mulutnya! Anak bijak ini!

  • Apa Yang Anda Perlukan: permainan bayi dengan warna terang dan sesuai untuk umurnya
  • Perkembangan Kemahiran Yang Akan Dibentuk: perkembangan motor dan koordinasi antara mata-tangan

3. Menghidu bau bunga

Ketika berusia 3 bulan, mereka akan lebih peka tentang sekeliling. Mereka boleh menggunakan deria bau untuk membezakan orang.

Jadi, jom cuba aktiviti menghidu bau bunga dengan si manja anda! Bukan setakat bunga saja, anda juga boleh beri mereka bau biskut dan rempah.

  • Apa Yang Anda Perlukan: bunga, rempah ratus, biskut dan benda lain yang berbau harum
  • Perkembangan Kemahiran Yang Akan Dibentuk: perkembangan bau

4. Pegang dengan bebas

Kini, deria sentuh si manja anda itu sedang membangun.

Dia akan terhibur meneroka sekeliling dengan cara menyentuh dan merasai semua benda melalui tangan dan jarinya.

Jadi, jom sediakan pelbagai benda untuk dia sentuh. Contohnya anda boleh beri kain sutera, kain kapas, tekstur kulit dan sebagainya.

Tips Yang Amat Membantu

milestone kanak-kanak 3 bulan

Kredit: 20 Week by Week Baby Development Milestones

Mana-mana anda pergi, mesti ada orang yang selalu ingin beri tips berguna untuk bayi anda, kan?

Jangan cepat rasa semak dengan segala maklumat dan tips ini. Mari kita tengok tips mana yang benar-benar membantu anda:

1. Tumbesaran anak

Anda akan perasan yang si kecil itu semakin tinggi dan kurus. Ini bukan sebab anak anda tak cukup makan nutrisi, bak kata mak mertua anda yang terlebih risau itu.

Ini kerana dia telah mencapai tumbesaran pertama di mana tulang dan otot si kecil makin membesar.

2. Tidur sepanjang malam

Biasanya, bayi yang sudah berusia 3 bulan akan tidur sepanjang malam. Tapi ada juga yang tak berjaya.

Anda pasti penat tidak dapat tidur kerana mereka dan anda cuba untuk biar mereka menangis satu malam agar mereka “tertidur”. Itu cara yang salah!

Ikut saja apa naluri keibubapaan anda rasa.

3. Jangan beri makanan pepejal lagi!

Pasti ada makcik-makcik sibuk yang menasihatkan anda untuk beri si manja makanan pepejal agar dia cepat tidur, kan?

Sebenarnya, lebih baik anda buat tidak tahu saja dengan nasihat ini. Kajian mendedahkan bayi yang berusia 3 bulan tidak sepatutnya makan sebarang makanan pepejal lagi.

Ini kerana sistem pencernaan mereka masih belum matang, maka mereka tak boleh memproses makanan.

Anda boleh memberi makanan pejal apabila mereka sudah mencapai usia 6 bulan.

Bila anda patut risau?

Walaupun setiap bayi membesar dengan milestone dan perkembangan tumbesaran yang berbeza, namun anda harus lebih peka tentang keupayaan dan kemampuan bayi anda.

Jika mereka tidak boleh buat semua ini, sudah tiba masanya anda membawa si kecil itu berjumpa doktor untuk pemeriksaan:

  • Tidak beri respon dengan bunyi yang kuat (seperti pintu terhempas atau bunyi hon)
  • Tidak perasan tangan dia sendiri
  • Tidak senyum apabila mendengar suara anda
  • Tidak mengikut objek yang bergerak dengan matanya
  • Tidak mahu mencapai dan memegang objek
  • Tidak mahu senyum
  • Tidak mahu bercakap bahasa bayi atau meniru bunyi yang dia dengar
  • Tidak mahu memasukkan objek dalam mulut
  • Sukar menggerakkan satu mata atau kedua-dua mata dalam arah tertentu

Walaupun perkembangan bayi bukanlah satu pertandingan, tapi ada milestones tertentu yang harus dicapai oleh bayi berusia 3 bulan.

Jika anda risau dengan perkembangan tumbesaran mereka, cepat-cepat cakap dengan doktor, ya!

Kredit gambar: striped banana photography

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 2 Bulan

The post Panduan Lengkap: Tumbesaran dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 3 Bulan appeared first on Malaysian Parenting and Motherhood advice.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4977


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>