Menyediakan keperluan bayi amat best dan terkadang menyebabkan pasangan ibu bapa membeli secara berlebihan segala persediaan bersalin dan sebelum menyambut bayi.
Elakkan masalah terlebih membuat persediaan bersalin dengan mengikuti senarai cadangan keperluan asas yang kami sertakan di bawah ini.
Sekiranya nanti anda rasakan masih ada kekurangan, lengkapkannya apabila si comel telah berada di dalam dakapan! 😉
Persediaan Bersalin WAJIB Untuk Ibu Bapa Buat Kali Pertama
#1 Persediaan bersalin: pakaian bayi

Kredit: Pinterest
Untuk pakaian, pastikan ianya 100% kain kapas. Bayi cepat membesar, justeru mulakan dengan hanya beberapa helai dan tambah lagi seiring dengan pembesaran mereka.
Pakaian asas serta cadangan bilangan adalah: 3 baju lengan panjang dan pendek, 3 seluar panjang dan pendek, 2 helai bib bayi, 2 pasang stokin dan sarung tangan, 2 helai penutup kepala atau topi bayi, barut dan kain bendung.
Baju one-piece juga pilihan yang memudahkan untuk bayi dan anda. Ha… dah buat persediaan bersalin yang satu ini?
#2 Persediaan bersalin: keperluan menyusu anak

Kredit: Parents
Jika anda memilih untuk susu badan sediakan keperluan berikut: baju dalam khas menyusu, pengepam susu, bekas simpanan susu, botol serta puting susu, bekas rendaman stim, berus botol, penghangat botol, pad dan krim payudara.
Jika anda bekerja, sediakan juga beg pendingin bagi menyimpan susu yang dipam di pejabat.
Bagi pilihan susu formula, sediakan juga: susu formula, termos air panas, bekas susu dan bekas air masak.
#3 Persediaan bersalin: kelengkapan mandi bayi

Kredit: Freepik
Kelengkapan asas mandi termasuklah : tuala, minyak urut bayi seperti minyak Yu Yee Cap Limau, krim ruam bayi, kapas muka dan putik kapas.
Carilah tuala yang lembut dan jika berhud, ia memudahkan untuk membendung bayi selepas mandi.
Lengkapkan dengan set bantuan seperti pengetip kuku, penyedut hidung, termometer dan sikat.
Besen mandi bayi memang memudahkan, tetapi anda boleh memanfaatkan sinki di rumah jika ianya cukup selesa.
Kulit bayi sangat bersih dan tidak perlu kepada sebarang mandian khas. Namun jika anda masih tidak yakin, carilah mandian tanpa sabun yang mempunyai kadar pH 5.5.
Persediaan bersalin ini amat penting agar anda tidak kelam-kabut kelak!
#4 Keperluan menyalin lampin

Kredit: Shutterstock
Anda perlu menukar lampin sekerap 10-12 kali dalam sehari. Untuk meja khas, pastikan ketinggian yang selesa. Jika tidak, katil anda sudah mencukupi.
Anda boleh memilih lampin pakai buang atau kain. Untuk lampin pakai buang, hanya satu pek bersaiz S diperlukan. Selebihnya belilah selepas bayi dilahirkan untuk saiz yang lebih sesuai.
Pilihan lampin kain bukan sahaja menjimatkan kerana boleh diulang pakai tetapi juga lebih mesra alam sekitar.
Sediakan juga: lapik khas kalis air yang mudah dilap, tisu basah dan krim ruam.
#5 Keperluan tidur bayi

Kredit: Freepik
Katil ibu boleh menjadi katil bayi terutama bagi ibu yang menyusukan. Jika anda memilih untuk menyediakan katil khas, pilihlah cot bayi yang boleh ditukar menjadi katil.
Sediakan juga: tilam khas bayi, bantal dan sarung bantal, 2 lapik tilam kalis air, selimut khas bayi yang lembut serta ringan dan kelambu bayi jika dirasakan perlu.
Bayi sebenarnya tidak memerlukan bantal. Anda boleh jadikan kain muslin atau tuala bayi sebagai alas.
Kain muslin atau kain kapas yang lembut dan ringan boleh berfungsi sebagai selimut dan kain bendung bayi.
Anda mungkin perlukan gajet pengawasan bayi bagi memudahkan anda melakukan kerja-kerja lain dalam rumah.
#6 Keperluan perjalanan

Kredit: Freepik
Bagi memastikan keselamatan bayi, sediakan tempat khas. Anda boleh memilih stroller yang boleh ditukar kepada tempat duduk khas kereta.
Jika memilih baby pram, pastikan ia boleh diubah kepada posisi berbaring penuh. Sediakan juga beg bayi untuk semua kelengkapan.
Jika anda memilih tempat duduk khas terpakai, pastikan ciri keselamatan berfungsi sepenuhnya. Jika tidak, belilah yang baru.
#7 Keperluan ibu

Kredit: Kompas
Bagi ibu, beberapa keperluan asas untuk dibawa ke hospital termasuk: selipar jepun, stokin tebal, pad khas bersalin atau pad biasa, baju kain kapas yang longgar serta serap peluh.
Beberapa pesanan tambahan, perhatikan tanda ‘value buy’. Harga yang murah tidak semestinya kurang kualiti. Sediakan juga set bersalin yang mengandungi keperluan asas seperti minyak urut dan bengkung.
Pencuci khas untuk pakaian bayi perlu kerana kulit bayi amat sensitif. Khas bagi bayi lelaki, sediakan juga tungku untuk bayi.
Satu tips yang baik, cipta satu wish list dan kongsikan bersama rakan-rakan dan ahli keluarga. Mereka tentu ingin menghadiahkan sesuatu. Ini juga dapat mengelak pembaziran.
Selamat berbahagia dengan ahli keluarga baru!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
The post Due Date Sudah Dekat? Jangan Lupa Untuk Siapkan Persediaan Bersalin Lebih Awal Agar Tidak Kelam Kabut! appeared first on theAsianparent-Panduan Untuk Kehamilan, Bayi & Besarkan Anak.